Thursday, November 10, 2011

Pindah Rumah: Ubahsuai Dapur

Kaunter, sinki, dapur, hud, kabinet, peti sejuk... Sekadar menyenarai peralatan dapur yang telah kami beli. Senarainya taklah sepanjang mana, tapi kalau nak bandingkan kosnya, memang besar. Syukur, kebanyakan peralatan elektrik dapur dah ada - daripada hadiah kahwin dulu :)

Kaunter dapur. Ubahsuai rumah kami bermula dengan dapur. Pada permulaannya saya tak pasti sama ada mahukan kaunter solid surface atau konkrit dengan jubin. Memandangkan wifey agak konservatif dalam hal ini, kami setuju dengan kaunter konkrit dengan jubin bersaiz 2’x2’. Tanggungjawab untuk kaunter dapur kami serahkan pada kontraktor ubahsuai kami, Andy. Untuk ketuk dinding (selebar 6’), ganti jubin lantai (8’x12’) and bina kaunter konkrit dengan jubin, keseluruhannya berharga RM 6,000.  

Pintu dan tingkap kaca. Rekabentuk asal dapur kami agak tertutup, peta lantai segi empat dengan satu pintu dan satu tingkap. Selepas rekaan semula dapur, kami masih tak dapat lari dari satu pintu dan satu tingkap. Penyelesaiannya? Pintu kaca dan tingkap gelongsor dengan dimensi yang lebih besar. Kebetulan tak lama selepas itu ada ekspo hiasan rumah HomeDec ‘10. Setelah puas tinjau tawaran-tawaran menarik selama dua hari (Jumaat dan Sabtu) kami tempah dengan Reliance Home. RM 1,500.


Kipas pengudaraan. Pada permulaan perancangan reka bentuk dapur, salah satu ciri-ciri yang saya utamakan adalah pengudaraan. Kalau dah memasak, pasti ada baunya, kita gunakan hud. Tapi selalunya haba tetap meruap ke pelusuk dapur, dan boleh membuatkan kita rasa tak selesa - kita guna kipas pengudaraan. Tak ada masalah... beli di Senheng pada harga RM 120.

Dapur masak dan hud. Alatan ini kami beli di Harvey Norman Mid Valley. Pada mulanya kami ke Mid Valley untuk mencari barang-barang bilik tidur dan jika ada, blind untuk dapur. Selepas makan di Deli France, kami singgah masuk Harvey Norman yang terletak bersebelahan. Terjumpa dapur masak dan hud jenama Fagor yang menarik dan kena semua ciri-ciri yang diingini. Tapi belanjawan dah diatur - kata hati “kalau harga bawah RM 2,000 sekarang juga aku beli.” Alih-alih seorang jurujual datang, dan selepas sekali menawar harga, set dapur dan hud yang asalnya RM 2,300 dah jadi RM1,999. Subhanallah. Ada hikmah. Terus beli.
Kabinet dapur. Tempahan untuk kabinet dapur adalah yang terakhir untuk dapur dan juga yang paling lama. Masalahnya lebih kepada belanjawannya yang besar. Dua pilihan untuk peraka dapur, Legend Kitchen atau Kian Classic. Setelah melawat kilang merangkap showroom Legend Kitchen, suasana kurang mesra pelanggan yang kami rasai, Kian Classic adalah pilihan yang jelas dan ianya keputusan yang berbaloi kerana Kian Classic tak jemu melayan kerenah kami. Manakan tidak, memandangkan dapur kami taklah sebesar mana, tetapi citarasa masing-masing besar dan agak tidak seiring. Fokus saya lebih kepada rekaan yang praktikal dan wifey pula mahukan yang indah mata memandang. Namun, setelah beberapa kali rekaan ditukar, kami setuju dengan rekabentuk klasik dengan meja gelongsor (lihat gambar) dan pintu kabinet daripada kayu Nyatoh. RM 12,250.