Sunday, January 03, 2010

Kenduri Mak Lang Mina

Kenduri Mak Lang Mina adalah yang terakhir untuk keluarga Tok Chik jadi segala persiapan sememangnya gah.

Sebagai keluarga sepupu-sepapat sebelah Tok Long, kami menjenguk lebih awal pada hari kenduri kalau-kalau ada benda yang boleh dibantu. Walaupun waktu baru jam 12 tengah hari, ramainya orang macam di konsert. Terus saya dan isteri beratur mengambil makanan. Menu kenduri Mak Lang Mina agak unik - bermula dengan ayam masak merah, daging kicap, acar dan ulam-ulaman, tapi sebaik habis ayam merah diganti pula dengan ayam goreng berempah. Wah! tak nak terlepas merasa, saya ulang makan lagi untuk kali kedua ;)

Malam sebelumnya, selepas akad nikah keluarga pihak lelaki dijemput ke rumah untuk doa selamat and kenduri kecil-kecilan untuk sanak saudara. Menu disediakankan sendiri keluarga Tok Chik dengan makanan ala kampung - lauk gulai kambing, ikan tenggiri asam laksa, ikan masin, ulam-ulaman dan acar sememangnya menyentap selera sampaikan saya berulang makan dua kali.

Kembali kepada hari kenduri, Mak, Mak Lang, Mak Su, Mak Njang, Chik, Tok dan banyak lagi Mak-Mak sebelah Tok Long memasak bubur lambok ala Kg Pisang untuk juadah sampingan keduri Mak Lang Mina. Sebaik bubur tiba di rumah kenduri, saya dan isteri turun padang, menawar diri menjaga kaunter bubur lambok memandangkan hampir semua sepupu-sepapat dah ada kaunter masing-masing - dari cendol ais kacang, ais krim, rojak, dan laksa.


Sebelum balik ke alor Setar, sempat saya ambil gambar panorama rumah Pak Teh (kiri) dan rumah Tok (Long) yang berhadapan dengan laluan Baling-Gerik.

1 comment:

kn said...

gile byk mkn..mesti sudaaa gemuk