Hari ini (Selasa, 9 Nov 2010) bermula dengan baik. Abah mengajak sarapan di luar (setiap kali saya balik, mesti ada pagi yang macam ni - father and son bonding lah katakan). Tapi tatkala matahari meninggi naik, panggilan pejabat mula menjenguk. Saya balik mengejut sebab mengenang Abah dan Mak berdua saja nak mencuci dan mengemas rumah penuh lumpur, dan kerana itu terus kerja pejabat separuh siap ditinggalkan. Berjela saya membincangkan hal kerja, akhirnya, saya kena siapkan jugak sebahagian (lepas tulis blog ni kena fikir hal kerja pulak). Dah tahu kena buat keje malam ni, terus saya kemas barang-barang dan mula bertolak balik ke Kajang - dalam pukul 11 pagi.
Hampir ke jam 1 petang, saya singgah di R&R Gunung Semanggol untuk makan and solat. Sementelah itu, panggilan pejabat tetap datang menjenguk, satu dua perkara yang merungsingkan perlu diselesaikan. Manakan tidak, due date dah lepas. Lebih kurang jam 1.30 aku meneruskan perjalanan. (Kalau ada yang musykil sekejap sangat saya berhenti di R&R... I'm a guy, and I was alone).
Dalam perjalanan, nampak satu dua kereta bagi isyarat high beam - nampak gayanya ada road block di hadapan. Walaupun saya seorang yang agak patuh hadlaju (takkan lah kita boleh patuh 100% setiap masa) saya dapat rasakan saya akan ditahan ke tepi tak besar kemungkinan tidak disaman. Tidak saya menyangka, kali ini lain daripada biasa (macam Hot FM pulak)
Ini transkrip (lebih kurang) yang berlaku di road block antara Gunung Semanggol dan Kuala Kangsar, antara jam 2 - 3 petang.
Polis Trafik (PT): "Encik bawak laju ni"
Saya (FMK): "Eh yeke? Laju sangat ke?"
PT: "Laju, lebih hadlaju la. So apa kita nak buat sekarang?"
FMK: "Saya mintak maaf la. Tak boleh bagi warning je ke? Kadang-kadang saya bawak tak perasan terlebih hadlaju, saya slow balik."
PT: "Boleh bagi warning, tapi gambar saman ekor nak buat macam mana? Ada muka encik."
FMK: "Ha!? gambar apa pulak?"
PT: "Macam ni jelah. Encik bagi... (sambil tangan kanan beliau masuk ke dalam kereta, dengan lima jari bukak tutup seolah-olah bermaksud lima... atau 'lima puluh'?) ... saya boleh delete gambar saman ekor encik. Kira macam tak ada la."
Aduhai... pertama kali saya jumpa polis trafik yang se'direct' ini. Selalunya berdolak-dalih dengan "apa kita nak buat sekarang". Bermula dari situ, saya pulak yang berdalih, cuba nak perangkap dia untuk cakap apa sebenarnya yang dia nak. Tak habis-habis tangan kanannya kembang kuncup mengisyaratkan 'lima' sambil menunjukkan gambar saman ekor sapa punya ntah dan berkata "saya boleh delete gambar saman ekor encik".
Ayat terakhir saya kepada beliau, "kita buat cara betul la". Terus dia berundur, tengok kereta di belakang saya sambil berkata, "Ha, OK takpe. Jalan."
Astaghfirullah Al 'Azim. Tak tau lah sama ada saya kena saman ekor atau tidak. Tunggu...